Guru Juga Adalah Usahawan?
Baru-baru ni saya telah mengadiri satu siri keusahawanan di sebuah hotel terkemuka di utara tanahair. Dalam seminar tersebut penceramah membentangkan mengenai tip2 keusahawanan dan teknik-teknik yang perlu diamalkan untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Dalam pada itu, saya terfikir mengenai kerjaya saya selama ni, iaitu guru… Adakah guru juga perlu memiliki sifat-sifat keusahawanan? Mungkin ya… Mari kita kaji faktor-faktor berikut…
Perhubungan adalah faktor utama.
Pelanggan tidak akan membeli barangan daripada penjual yang tidak disukainya. Jurujual yang tidak menjalinkan hubungan yang baik dengan pelanggannya pasti akan gagal.
Guru juga memiliki pelanggan, iaitu pelajar, ibu bapa, rakan sejawat dan masyarakat setempat. Sekiranya dia tidak disukai atau dihormati oleh pelanggannya, dia juga akan gagal, sama seperti jurujual itu. Oleh itu, guru juga perlu mewujudkan perhubungan yang baik dengan pelanggannya supaya ‘barangan yang dijualnya’, iaitu ilmu yang hendak disalurkan itu diminati lalu ‘dibeli’ oleh pelanggannya.
Pemasaran dalam perniagaan adalah penting.
Perniagaan yang berjaya sebenarnya berpunca daripada pelaksanaan bahagian pemasaran yang berkesan. Mereka berjaya mempromosikan barangan dan perkhidmatan sehingga memberikan kesan yang mendalam kepada pelanggan mereka. Slogan, moto, iklan dan sebagainya merupakan antara faktor penting untuk memikat pelanggan.
Bagi guru pula, kemahiran untuk merangsang (motivasi) pelajar adalah sangat penting untuk menjadi guru yang berkesan dan berjaya. Sekiranya guru tersebut berjaya mempromosikan ‘produknya’ dengan berkesan melalui bahan bantu mengajar dan sebagainya, minat pelanggan terhadap pengajarannya akan bertambah mendalam.
Usahawan perlu bersedia untuk menerima perubahan.
Dalam tahun 1979, terdapat beberapa orang pegawai eksekutif teknikal yang berpendapat bahawa idea untuk mencipta komputer peribadi yang dapat digunakan secara berleluasa di rumah adalah sesuatu yang tidak praktikal. Apakah yang terjadi kepada mereka sekarang?
Guru sentiasa berhadapan dengan pelbagai perubahan dalam sistem pendidikan negara. Sekiranya guru tidak dapat menerima perubahan-perubahan itu, mereka juga akan gagal. Misalnya penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran.
Kegagalan adalah permulaan untuk menempa kejayaan.
Thomas Edison, orang yang pertama mencipta lampu dan projektor pernah berkata,”Saya sebenarnya tidak gagal, tetapi saya telah menemui 10 ribu cara yang tidak menjadi.” Semangat yang adventurous seperti itu amat penting dimiliki dan diamalkan oleh usahawan yang ingin berjaya kerana dengan semangat seperti itulah akan terhasil produk dan perkhidmatan yang terbaik.
Guru juga sudah pasti perlu mengamalkan beberapa pendekatan, kaedah dan teknik yang telah dikenalpasti sebagai yang terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran. Tetapi, guru juga tidak sepatutnya takut untuk mencuba sesuatu yang baru dengan membuat penyelidikan dan kajian sendiri. Setiap teknik mengajar yang dilaksanakan harus dinilai sendiri menurut kesesuaian dan seterusnya membuat sesuatu perubahan atau penambahbaikan yang difikirkan perlu.
Perancangan dan perbincangan.
Seterusnya, penceramah bercerita tentang pelakon terkenal Jim Carrey yang gigih membuat latihan sendiri dan sering berbincang dengan rakan-rakan sehingga berjaya memikat penonton dengan telatahnya yang agak unik dan melucukan. Begitu juga bagi usahawan. Mereka perlu menyertai dan merancang perjumpaan untuk berbincang tentang kehendak-kehendak pelanggan mereka.
Guru juga demikian, dimana mereka sentiasa mengadakan sumbang saran dan perjumpaan untuk memenuhi kehendak ‘pelanggan-pelanggan’ mereka. Guru yang berjaya sanggup meluangkan masa untuk menulis surat, emel, sms atau menelefon pelanggan mereka untuk berkongsi sesuatu demi kebaikan pelanggan. Kaum guru juga kerap mengorbankan masa rehat hujung minggu untuk melakukan sesuatu demi mencapai cita-cita pelanggan.
Bimbing pelanggan. Jangan mendesak.
Antara komen penceramah yang paling menarik adalah tentang hubungan antara majikan dengan kakitangan. Majikan yang berjaya dalam perniagaannya merupakan majikan yang tahu mengeksploitasikan keupayaan orang-orang dibawahnya secara maksimum.
Bagi pihak pengurusan sekolah pula, pengetua atau guru besar yang cemerlang adalah mereka yang tahu menggunakan kekuatan setiap guru di bawahnya, bukan mencari-cari kelemahan mereka semata-mata. Malahan, pengurus sekolah yang baik juga sentiasa membantu guru-gurunya untuk mengembangkan bakat dan kebolehan yang sedia ada. Disamping itu, guru-guru juga sentiasa prihatin dan membimbing serta memberikan ransangan kepada pelajar-pelajar di bawah mereka untuk terus maju dalam sesuatu bidang dan mengembangkan bakat dan kebolehan pelajar. Misalnya bakat dalam seni, sukan, akademik dan sebagainya….









Salam bro…
Satu perkongsian yg hebat. Apa pun, saya akan cuba praktikan apa yg dikongsikan..
Rajin p kursus erk..
Makasih… Tak la rajin sgt. Cuma nak tambah ilmu skit2 ja…