Archive

Archive for the ‘News’ Category

400 usahawan menerusi talian dikenakan tindakan tidak daftar perniagaan

July 21st, 2010 Barizanif No comments

PULAU PINANG: Dalam tempoh dua tahun lalu kerajaan sudah mengambil tindakan terhadap 400 individu yang menjalankan perniagaan menerusi Internet kerana tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, kesemua mereka dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 12 (1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 2001) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.
“Individu atau syarikat yang menjalankan perniagaan menggunakan laman web atau Internet sebenarnya tidak terkecuali dan mesti mendaftarkan perniagaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Dialog Amalan Perniagaan Beretika Zon Utara, di sini hari ini.
Katanya, langkah itu bertujuan melindungi pengguna daripada unsur penipuan selain memastikan peniaga mematuhi etika perniagaan.
Beliau berkata, kerajaan juga menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sentiasa memantau laman web yang menjalankan perniagaan bagi mengesan pihak yang gagal mendaftarkan perniagaan mereka.
“Kita mahu golongan ahli perniagaan mempunyai kesedaran bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dan kod etika yang harus dipatuhi supaya pengguna tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.-Bernama

Sumber: http://www.hmetro.com.my

Share/Save/Bookmark

Harga teh tarik naik 1.25 sen?

July 16th, 2010 Barizanif No comments

Harga bagi teh tarik - minuman paling popular di Malaysia, sepatutnya hanya naik 1.25 sen segelas berikutan pengurangan subsidi harga gula sebanyak 25 sen.

Harga baru teh tarik itu mengambil kira kesan pengurangan subsidi minyak dan pelarasan harga semasa iaitu RM1.0155.

“Ini adalah anggaran sahaja - perubahan harga mungkin berbeza berdasarkan faktor lain,” kata kenyataan mengenai rasionalisasi subsidi Jabatan Perdana Menteri.

Kenyataan itu berkata kesan pengurangan subsidi terhadap teh tarik ialah RM0.0030, manakala untuk barangan lain ia lebih rendah, seperti RM0.0024 untuk sekeping roti canai, RM0.0060 untuk beras, RM0.0630 untuk daging dan RM0.0105 untuk mi goreng.

Kerajaan hari ini mengumumkan subsidi untuk petrol, diesel, petroleum gas cecair (LPG) dan gula akan dikurangkan sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat berkuatkuasa esok.

Subsidi untuk petrol RON 95 dan diesel akan dikurangkan sebanyak lima sen seliter dan LPG dikurangkan sebanyak 10 sen sekilogram. Ini bermakna harga bagi petrol RON 95 ialah RM1.85 seliter manakala LPG akan dijual pada harga RM1.85 sekilogram.

Untuk gula, pelarasan harga ialah sebanyak 25 sen sekilogram.

Kenyataan itu turut memberi perbandingan harga minyak di rantau ini yang menunjukkan harga petrol di Malaysia adalah paling murah, iaitu RM1.85 untuk RON95 berbanding Thailand (RM4.12), Indonesia (RM2.48) dan Filipina (RM6.60).

Harga baru gula di Malaysia iaitu RM1.90 juga adalah jauh lebih murah dari Thailand RM2.60, Indonesia (RM3.68) dan Filipina (RM3.46).

Harga gula yang murah di Malaysia itu telah menyumbang kepada peningkatan masalah penyeludupan. Pihak berkuasa merampas lebih 200 metrik tan gula dalam 109 tangkapan berhubung kes penyeludupan pada 2009, dan pada 2008, dianggarkan RM628 juta minyak diesel subsidi untuk nelayan, dinikmati rakyat asing.

— Bernama

Sumber: malaysiakini.com

Share/Save/Bookmark